Jump to content

Wikimedia Korea/Open letter to the Wikimania community July 26, 2026/Wikimedia CUG Malaysia's response in support of Wikimedia Korea’s statement on Wikimania

From Meta, a Wikimedia project coordination wiki

KKP Wikimedia Malaysia menyokong kenyataan Wikimedia Korea berkenaan Wikimania

[edit]

Kepada Pasukan Penganjur Teras Wikimania, Jawatankuasa Pemandu, pasukan Amanah dan Keselamatan Yayasan Wikimedia, dan seluruh komuniti Wikimedia:

Pihak Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia (WCUGM) percaya bahawa kepentingan amanah dan keselamatan peserta mana-mana acara Wikimedia hendaklah menjadi kepentingan utama, daripada pertemuan biasa kepada bengkel hinggalah kepada persidangan besar. Kami percaya bahawa kepentingan kesejahteraan peserta hendaklah diutamakan kerana ia tonggak kepada keselesaan para Wikimediawan dalam gerakan ini. Kami juga menghargai langkah-langkah yang diambil oleh pihak Yayasan Wikimedia dan pasukan penganjur dalam memastikan persidangan ini kekal sebagai satu ruang selamat bagi semua peserta.

Oleh kerana itu, kami berasa amat kesal apabila mendengar kejadian amang seksual yang dihadapi seorang ahli Wikimedia Korea di persidangan Wikimania di Paris, seperti diumumkan Presiden mereka dalam sebuah surat terbuka bertarikh 26 Julai 2026.

Kami berdiri teguh sesama para Wikimediawan dari komuniti-komuniti lain yang terkesan dengan kejadian-kejadian yang melanggar amanah dan keselamatan, terutamanya rakan kami dari Korea selaku saudara serantau Asia Timur, Tenggara dan Pasifik (ESEAP).

Kejadian ini bukan satu kejadian terasing. Terdahulu, salah seorang ahli komuniti kami yang turut menghadiri persidangan ini secara bersemuka juga telah melaporkan satu masalah amanah dan keselamatan kepada pasukan penganjur berkenaan satu kejadian amang seksual lain oleh seorang Wikimediawan yang lain ke atas seorang lagi Wikimediawan daripada rantau lain. Seperti kejadian terdahulu, kejadian ini juga melibatkan sentuhan fizikal dan kelakuan intim secara paksa ke atas orang lain yang telah menyatakan ketidakselesaannya terhadap pencerobohan ruang peribadi.

Walaupun kami percaya bahawa kemesraan masyarakat Wikimedia ini ialah satu cara yang baik untuk menghubungkan manusia merentasi sempadan dunia dan memperkenalkan budaya masing-masing, sifat saling hormat-menghormati sesama yang lain serta batas terhadap tindakan tidak diingini masih perlu diambil endah.

Kami bersama-sama Wikimedia Korea dalam permintaan mereka untuk ketelusan dalam tindakan yang diambil dalam menangani kejadian ini, sambil menjaga kebersendirian mangsa dan pelaku. Sejak kebelakangan ini, pihak penganjur telah banyak mengusahakan langkah-langkah demi keselamatan peserta daripada ancaman fizikal seperti melalui pemeriksaan keselamatan di dewan. Walaupun kami percaya bahawa langkah-langkah ini juga penting, namun kami juga ingin mengetengahkan bahawa terdapat banyak lagi cara seorang peserta boleh melanggar peraturan amanah dan keselamatan di dalam dan di luar ruang persidangan.

Kami juga ingin menekankan bahawa mangsa kelakuan sebegini sering kali enggan melaporkan kejadian yang berlaku.[1] Maka, mustahillah untuk kita untuk mengetahui berapa banyak kejadian yang sebenarnya berlaku tanpa kesedaran pihak penganjur. Kami menggesa agar masalah ini ditangani secara telus dan tegas untuk mengelakkan masalah kelak.

27 Julai, 2026

Taufik Rosman (Pengguna:Tofeiku), Pengerusi Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia
bagi pihak Ahli Jawatankuasa Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia

Tofeiku (talk) 17:43, 27 July 2026 (UTC)reply

Rujukan

[edit]
  1. Chen, Fu-Hsuan (2025-12-05). "Sexual Harassment – A Secret That Can’t Be Told? A Focus on Taiwan’s Gender Equality in Employment Act, Gender Equality Education Act and Sexual Harassment Prevention Act". In Vanhullebusch, Matthias; Stanford, Ben. The Asian Yearbook of Human Rights and Humanitarian Law 9. Brill | Nijhoff. p. 215. ISBN 9789004748736.