Jump to content

Wikimedia Korea/Surat terbuka kepada komuniti Wikimania 26 Julai, 2026

From Meta, a Wikimedia project coordination wiki
This page is a translated version of the page Wikimedia Korea/Open letter to the Wikimania community July 26, 2026 and the translation is 100% complete.

Tajuk: Gesaan untuk siasatan dan tindakan wajar berkenaan amang seksual yang dialami peserta Wikimania

Catatan: Sekiranya makna terjemahan berbeza daripada tulisan asal bahasa Korea, versi bahasa Korea kekal sebagai yang tulen dan asli.

Kepada Pasukan Penganjur Teras Wikimania, Jawatankuasa Pemandu, pasukan Amanah dan Keselamatan Yayasan Wikimedia, dan para Wikimediawan:

Pertamanya, kami ingin menzahirkan kesyukuran kami atas segala usaha kuat dalam menganjur persidangan Wikimedia ini untuk para Wikimediawan sedunia. Kami berharap untuk meraih pengalaman bermakna dan maklumat berguna daripada persidangan ini, yang kemudiannya akan dikongsi dengan masyarakat kami kelak. Walau bagaimanapun, kami (Wikimedia Korea) amat berdukacita apabila mendapati bahawa beberapa kejadian malang kian dilaporkan di Wikimania tahun ini di Paris.

Beberapa penggerak utama Wikimedia Korea telah menyertai acara ini. Saya telah berharap agar peserta dari pihak kami akan pulang dari acara yang menghimpun para Wikimediawan sedunia ini dengan pengalaman yang luas lagi berharga, agar mereka akan meneruskan kegiatan mereka dengan penuh tekad. Namun begitu, hari ini saya mendapati bahawa salah seorang ahli kami, sambil dengan niat baiknya memberi pertolongan kepada seorang peserta lain, sebaliknya dilayan dengan sentuhan fizikal dan amang seksual yang tidak diingini secara paksa. Kami amat kesal serta begitu kecewa dengan keadaan ini.

Kami faham bahawa pihak mangsa telah pun meluahkan perkara ini kepada pihak penganjur. Kami meminta untuk keadaan kejadian ini disahkan secara teliti dan kemudian untuk pihak yang berkenaan memaklumkan kepada kami tentang proses siasatan serta keputusannya melalui saluran rasmi pertubuhan kami. Kami juga memohon agar langkah-langkah khusus diambil untuk mengelak daripada sebarang kejadian sebegini berlaku lagi untuk memastikan tatakeselamatan acara kelak. Secara khususnya, kami meminta untuk pihak-pihak yang disebut memaklumkan kami akan tindakan wajar yang telah diambil terhadap pelaku serta langkah-langkah tambahan yang diambil untuk memastikan sikap saling hormat-menghormati dan keselamatan sepanjang acara.

Walaupun kami memahami bahawa pihak penganjur acara tidak menjangkakan kejadian sebegini, namun menangani masalah ini serta mengumumkan butiran kejadian ialah langkah pertama untuk mengelak daripada kejadian sebegini berulang kelak.

26 Julai 2026

Jin Ju-Wan (User:Jjw), Presiden Wikimedia Korea

Jjw (talk) 12:50, 26 July 2026 (UTC)reply

Response