Jump to content

Wikipedia 25/Kit sambutan/Akhbar

From Meta, a Wikimedia project coordination wiki
This page is a translated version of the page Wikipedia 25/Celebration toolkit/Press and the translation is 99% complete.
Outdated translations are marked like this.

Kit ini menyediakan panduan dan sumber kepada para sukarelawan serta gabungan Wikimedia untuk menghebahkan sambutan ulang tahun ke-25 Wikipedia kepada media tempatan dan serantau. Sasaran kami adalah untuk memastikan Wikipedia mendapat liputan media di setiap negara pada 15 Januari 2026. Sila manfaatkan kit ini untuk membantu anda mendapatkan liputan daripada wartawan tempatan. Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan atau memerlukan bantuan lanjut, sila hubungi pasukan Perhubungan Media Wikimedia Foundation menerusi laman perbincangan ini atau di press(_AT_)wikimedia(_DOT_)org.

Cara merangka pelan media

Ini adalah panduan tentang cara merangka pelan bagi membantu menghebahkan sambutan ulang tahun ke-25, acara, projek atau inisiatif khusus anda kepada pihak media.

1. Kenal pasti matlamat dan khalayak anda

Adalah penting untuk mengetahui perkara yang ingin anda capai melalui perhatian media. Sebagai contoh: Adakah anda mahu meningkatkan kehadiran ke acara ulang tahun? Mengembangkan pangkalan gabungan anda? Menggalakkan orang ramai cuba menyunting? Siapa yang ingin anda sasarkan dan mengapa?

Kenal pasti 2-3 matlamat yang ingin dicapai daripada perhatian media serta khalayak yang ingin didekati.

2. Teroka sudut penceritaan

Setelah matlamat ditetapkan, teliti sudut penceritaan dan "tarikan" (hooks) yang mungkin ada untuk menarik perhatian media. Antara elemen yang mungkin menarik minat media termasuk:

3. Kumpulkan mesej utama dan sumber anda

Berdasarkan matlamat anda, apakah 2-3 mesej paling penting yang ingin disampaikan kepada umum? Mesej inilah yang anda perlu kongsikan dengan wartawan.

Lihat pemesejan dan sumber templat kami di bawah untuk panduan lanjut mengenai mesej khusus bagi Wikipedia dan ulang tahun ke-25.

Selain itu, mulakan pengumpulan data dan statistik, imej, serta contoh cerita yang boleh digunakan oleh wartawan dalam laporan mereka.

4. Kenal pasti jurucakap anda

Siapa yang boleh bercakap dengan media dan dipetik kata-katanya untuk menyampaikan mesej utama anda? Ini mungkin melibatkan 1-2 orang bergantung pada inisiatif, acara atau pencapaian khusus yang dibincangkan.

Anda boleh menyertakan jurucakap daripada gabungan anda serta sukarelawan lain yang mempunyai kisah menarik atau telah mencapai kejayaan penting dalam gerakan ini. Dapatkan gambar profil (headshots) jurucakap lebih awal.

5. Sediakan senarai kenalan media anda

Fikirkan tentang khalayak anda; perkara yang anda tahu tentang mereka dan berita yang mereka baca? Adakah mereka sering membaca surat berita, penerbitan teknologi atau laman berita umum? Senaraikan beberapa penerbitan ideal, iaitu liputan media yang boleh membantu mencapai matlamat dan khalayak anda.

Setelah mengenal pasti penerbitan ideal, cari wartawan khusus yang mungkin berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Wikipedia dan ulang tahun ke-25. Ramai wartawan menyenaraikan biodata mereka di laman berita atau LinkedIn. Masukkan nama wartawan ini dan maklumat hubungan mereka ke dalam senarai.

6. Pilih taktik anda

Terdapat banyak cara untuk melibatkan media sempena ulang tahun ke-25. Anda perlu tentukan pendekatan terbaik untuk situasi anda. Antara cara yang paling biasa termasuk:

  • Siaran Akhbar: Siaran akhbar biasanya mengandungi sekitar 500 patah perkataan dan merangkumi maklumat utama tentang acara atau inisiatif tertentu bagi memudahkan wartawan memahami topik dan kepentingannya. Lihat di bawah untuk panduan lain tentang penggunaan siaran akhbar.
  • Jemputan media: Jika anda menganjurkan acara, menjemput wartawan untuk hadir ialah cara terbaik menarik minat mereka dan berbual dengan orang ramai. Lihat contoh jemputan media.
  • Usul media: Anda boleh memutuskan untuk menghantar usul berita (pitch) kepada media bagi meminta peluang bercakap lebih lanjut tentang ulang tahun ke-25. Usul media sangat sesuai untuk peluang penceritaan yang sentiasa relevan, tidak terikat dengan acara, projek, atau inisiatif tertentu. Templat usul media tersedia di bawah.

Pastikan anda menghantar e-mel susulan kepada wartawan jika mereka tidak membalas pada hantaran kali pertama.

7. Laksanakan pelan media anda

Kini masanya untuk melaksanakan pelan anda. Hubungi media sekurang-kurangnya beberapa minggu lebih awal untuk memaklumkan tentang acara, projek atau inisiatif tertentu supaya mereka mempunyai masa untuk menelitinya. Jika anda mahukan liputan media pada 15 Jan, anda perlu mula menghubungi wartawan sekurang-kurangnya seminggu lebih awal. Ini memberi masa kepada wartawan untuk merancang, menjalankan temu bual dan menulis rencana mereka. Statistik, imej yang boleh digunakan wartawan dalam laporan mereka, serta gambar profil/biodata jurucakap juga berguna untuk disediakan.

Sila lihat sumber pemesejan dan visual ulang tahun ke-25 kami yang mungkin dapat membantu semasa melaksanakan pelan anda.

Mesej utama

Anda boleh menggunakan mesej-mesej utama berikut untuk menerangkan topik-topik Wikimedia dan berkongsi tentang sambutan ulang tahun ini dengan khalayak umum. Sila ambil perhatian bahawa mesej-mesej ini mungkin akan berubah, dan kami akan terus menambah kandungan dalam bahagian ini dalam beberapa bulan akan datang. Sila hubungi kami jika anda mempunyai sebarang soalan atau memerlukan sokongan tambahan berkaitan penyampaian mesej.

Menjelaskan Wikipedia

  • Wikipedia ialah salah satu sumber pengetahuan serta pendidikan terbesar dan terpenting di dunia.
  • Ia merangkumi lebih 65 juta rencana dalam lebih 300 bahasa yang dihasilkan oleh hampir 250,000 penyunting dan dilihat lebih 15 bilion kali sebulan.
  • Wikipedia ialah satu-satunya laman sesawang utama yang diselenggarakan oleh pertubuhan tidak untung, Yayasan Wikimedia.
  • Kandungan Wikipedia ditulis oleh penyunting secara sukarela dari seluruh dunia berdasarkan subjek yang layak. Para penyunting ini mematuhi piawai penyuntingan Wikipedia bagi memastikan semua maklumat disokong oleh sumber yang boleh dipercayai dan disampaikan dari sudut pandangan yang neutral.
  • Kajian telah menunjukkan bahawa apabila lebih ramai penyunting sukarela menyumbang kepada rencana Wikipedia dari latar belakang politik yang pelbagai, ia menghasilkan rencana berkualiti yang lebih tinggi.
  • Wikipedia tidak memaparkan iklan, tidak mengenakan yuran langganan dan tidak menjual data pengguna. Sebahagian besar pembiayaannya datang daripada sumbangan individu (purata $11) dari orang yang membaca Wikipedia.
  • Model terbuka yang diterajui komuniti ini adalah sebab Wikipedia menjadi platform paling popular untuk orang ramai mempelajari pelbagai perkara dalam talian.

Fakta dan angka penting Wikipedia

  • Wikipedia dilihat lebih daripada 15 bilion kali setiap bulan.
  • Wikipedia mengandungi lebih 65 juta rencana dalam lebih 300 bahasa.
  • Wikipedia disunting oleh hampir 250,000 sukarelawan setiap bulan di seluruh dunia.
  • Wikipedia disunting 342 kali setiap minit.
  • Kebanyakan vandalisme ditangani dalam masa sepuluh minit di sepuluh Wikipedia yang paling banyak dilihat.

Wikipedia @ 25: Pengetahuan ialah Manusiawi

Dalam konteks ini, sambutan ulang tahun ke-25 akan merangkumi sebuah kempen global yang berpusat pada tema "Pengetahuan ialah Manusiawi".

  • Wikipedia telah diasaskan pada 15 Januari 2001. Pada Januari 2026, laman sesawang ini akan meraikan ulang tahun ke-25, menandakan suku abad usaha untuk menjadikan pengetahuan yang dipercayai dan digerakkan oleh manusia boleh diakses di seluruh dunia. Walaupun dunia telah berubah sepanjang 25 tahun yang lalu, Wikipedia kekal sebagai sumber maklumat dan pengetahuan yang boleh dipercayai.
  • Wikipedia ialah tulang belakang pengetahuan manusia di Internet: ia memberi maklumat kepada model AI, kewartawanan, semakan fakta, usaha literasi digital dan banyak lagi.
  • Perkara yang membezakan Wikipedia ialah manusia di sebalik pengetahuan. Semakin ramai manusia mengambil bahagian, semakin baik pengetahuan dalam Internet.
  • Wikipedia ditulis oleh orang-orang yang menaruh kepercayaan kepada tekad pengetahuan bersama, dan mereka yang sentiasa memperbaikinya dan memastikan ia terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada berjuta-juta orang dalam tugasan pencarian harian mereka dalam meperoleh maklumat yang boleh dipercayai dan diyakini.
  • 65 juta rencana dalam 300+ bahasa yang dibuat oleh 250,000 penyunting telah membuktikan kuasa besar kerjasama manusia.
  • Kini, di era AI kita memerlukan pengetahuan yang digerakkan oleh manusia daripada Wikipedia lebih daripada sebelumnya.
  • Dengan bantuan berterusan daripada pembaca, penyunting sukarela dan penderma di seluruh dunia, Wikipedia akan kekal sebagai pusat utama untuk pengetahuan dan kerjasama yang digerakkan oleh manusia secara dalam talian untuk lebih daripada 25 tahun akan datang.
  • Pengetahuan ialah manusiawi dan pengetahuan memerlukan manusia.

Wikipedia dan AI

  • Dalam era AI, Wikipedia dan pengetahuan yang didorong oleh manusia adalah lebih penting.
  • Wikipedia ialah tulang belakang pengetahuan manusia di Internet. Ia menjadi asas kepada alat generatif AI, enjin carian, pembantu suara dan banyak lagi.
  • Setiap model bahasa besar (LLM) yang tersedia secara komersial dilatih dan menggunakan kandungan Wikipedia.
  • Penggunaan AI dan pembelajaran mesin (ML) dalam Wikipedia bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak tahun 2010, sebahagian sukarelawan telah menggunakan alat AI dan ML untuk menyokong kerja mereka, terutamanya pada tugas yang memakan masa dan berulang.
  • Kandungan yang dijana oleh mesin semakin meluas di seluruh Internet dan ia juga boleh sampai ke Wikipedia. Sukarelawan Wikipedia telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa dalam mengekalkan kebolehpercayaan maklumat di Wikipedia berdasarkan dasar dan proses yang dipimpin oleh komuniti sedia ada.
  • Semua kandungan Wikipedia disemak oleh sukarelawan manusia demi memastikan ia memenuhi piawaian penyuntingan Wikipedia yang ketat.

Templat

Usul media

Wikipedia mencapai kejayaan genap 25 tahun

Hai X,

Saya menghubungi anda bagi pihak (nama gabungan atau sekadar sukarelawan Wikipedia), iaitu komuniti sukarelawan yang menyunting Wikipedia.

Pada 15 Januari 2026, Wikipedia akan menyambut ulang tahunnya yang ke-25. Bagi meraikan pencapaian ini, kami akan (butiran mengenai projek atau inisiatif khusus anda). Kami ingin menjemput anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai (projek/inisiatif/acara), perjalanan Wikipedia sepanjang 25 tahun yang lalu, komuniti sukarelawannya dan apa yang bakal disajikan dalam 25 tahun akan datang. Maklumkan kepada saya jika anda berminat untuk bercakap dengan (Nama Ketua Gabungan/Sukarelawan) mengenai pencapaian besar ini. Kami berbesar hati untuk berkongsi maklumat lanjut dengan anda!

Terima kasih,

[NAMA]

Jemputan Media

PERKARA: Jemputan – Sambutan ulang tahun ke-25 Wikipedia, (Nama Bandar dan Tarikh)

Helo,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat. Nama saya (nama anda) dan saya merupakan (nyatakan hubungan/jawatan anda) bagi Wikipedia (wilayah).

Wikipedia akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 pada 15 Januari 2026. (Kumpulan pengguna / nama komuniti / gabungan) menjemput anda untuk menyertai (jenis acara) kami yang akan berlangsung pada (tarikh) jam (masa); lokasi kami akan (aktiviti).

Klik di sini (pautan ke butiran acara) untuk mengetahui lebih lanjut mengenai acara kami.

Untuk pengesahan kehadiran (RSVP), sila (nyatakan kaedah pilihan).

Siaran Akhbar

Yayasan Wikimedia akan menerbitkan siaran akhbar untuk sambutan ulang tahun ke-25 dalam bahasa Arab, Inggeris, Perancis, Jerman, Jepun, Melayu, Portugis dan Sepanyol. Jika anda mempunyai hasrat untuk menulis siaran akhbar khusus untuk kumpulan anda, terdapat beberapa petua di bawah ini. Selain itu, templat siaran akhbar akan dimasukkan ke dalam kit alat ini pada awal Disember untuk kegunaan anda.

Mengapa perlu menulis siaran akhbar?

  • Siaran akhbar adalah satu cara untuk meningkatkan kesedaran mengenai sesuatu pengumuman. Ia boleh dimuat naik di laman web anda dan/atau dihantar melalui e-mel kepada wartawan.
  • Ulang tahun ke-25 Wikipedia adalah sambutan global dan siaran akhbar tempatan boleh meningkatkan kesedaran di wilayah tertentu sambil menunjukkan kepelbagaian gerakan ini.
  • Ini adalah ruang untuk anda menonjolkan acara suntingan beramai-ramai (edit-a-thons) atau acara tempatan yang berkait dengan ulang tahun tersebut di wilayah anda.

Bagaimanakah cara mengedarkan siaran akhbar

Terdapat beberapa cara untuk mengedarkan siaran akhbar:

  • Kongsikan melalui e-mel dengan wartawan tempatan yang mungkin berminat. (Banyak penerbitan mempunyai borang "hubungi kami" di laman web mereka yang menyertakan alamat e-mel wartawan).
  • Terbitkan di blog gabungan/komuniti atau di bahagian akhbar/media di laman web anda.
  • Kongsikan pautan di media sosial.

Bilakah saya patut mengedarkan siaran akhbar?

  • Anda harus memberi wartawan masa sekurang-kurangnya beberapa minggu (jika boleh) untuk meneliti maklumat dalam siaran akhbar tersebut dan merancang laporan berita mereka.

Templat siaran akhbar

Gunakan templat di bawah untuk menulis siaran akhbar yang boleh anda kongsikan dengan wartawan di wilayah anda bagi mendapatkan liputan berita mengenai ulang tahun ke-25 Wikipedia. Terdapat ruang pemegang tempat (placeholders) dalam kurungan di bawah untuk anda tambah butiran yang relevan. Siaran akhbar global akan tersedia di laman web Wikimedia Foundation pada 15 Januari jam 8:30 pagi UTC.

Tajuk Utama

Contoh: 25 tahun Wikipedia: [Gabungan/komuniti] meraikan ilmu pengetahuan pada tahap terbaik

Subtajuk (pilihan)

Contoh: [#] Para Wikimediawan berkumpul untuk meraikan 25 tahun pengetahuan bebas menerusi [Acara/Inisiatif].

[Tarikh, Bandar, Negara] — Hari ini, Wikipedia, sumber maklumat dalam talian terbesar di dunia, genap berusia 25 tahun, memperingati lebih dua dekad perkongsian pengetahuan bebas sesama manusia di seluruh dunia. [Kumpulan gabungan], [jelaskan kumpulan gabungan] sedang meraikan pencapaian ini menerusi [butiran mengenai sambutan tempatan, inisiatif, dll.].

[Petikan kata daripada ketua gabungan atau sukarelawan]

  • Petikan boleh menyentuh tentang erti pencapaian ini kepada gabungan anda, peranan Wikipedia hari ini, bagaimana kehadiran Wikipedia telah berkembang di wilayah anda atau apa sahaja yang anda rasa menarik bagi pihak media.

[Maklumat latar belakang mengenai Wikipedia]

  • Kongsikan maklumat mengenai Wikipedia dan komunitinya di wilayah anda. Gunakan mesej utama ini. Selitkan data untuk memberikan konteks yang lebih jelas jika boleh.
  • Contoh: [Wikipedia Bahasa X] mempunyai lebih daripada [jumlah] rencana dengan komuniti seramai [jumlah] penyunting sukarelawan aktif.

[Butiran mengenai aktiviti komuniti anda sempena ulang tahun ke-25]

  • Ketengahkan sebarang acara ulang tahun, inisiatif atau aktiviti lain yang akan anda lakukan khusus untuk ulang tahun ke-25 dan cara-cara orang ramai boleh terlibat.
  • Ketengahkan kisah komuniti, pencapaian besar yang dicapai dalam tempoh 25 tahun lalu termasuk acara utama, kerjasama, inisiatif dan lain-lain.
  • Tawarkan cara untuk orang ramai terus berhubung dan mengetahui lebih lanjut, contohnya dengan menyertakan saluran media sosial dan/atau laman web anda.
  • Anda juga boleh menonjolkan peluang yang diketuai oleh Wikimedia Foundation jika berguna daripada siaran akhbar global, termasuk cara orang ramai boleh terlibat di media sosial dan dengan melawat laman peringatan ulang tahun ke-25. Halaman ini akan dikemas kini pada 15 Januari jam 8:30 pagi UTC.

[Fakta dan angka Wikipedia]

  • [Tambah sebarang statistik khusus mengenai wiki tempatan dan/atau komuniti anda].
  • Wikipedia dilayari hampir 15 bilion kali setiap bulan.
  • Wikipedia mengandungi lebih 65 juta rencana merentas lebih 300 bahasa.
  • Wikipedia disunting oleh hampir 250,000 penyunting setiap bulan di seluruh dunia. Penyunting ditakrifkan sebagai mereka yang melakukan satu suntingan atau lebih setiap bulan; hanya penyunting yang mempunyai nama pengguna dikira.
  • Wikipedia diakses oleh lebih 1.5 bilion peranti unik setiap bulan.
  • Wikipedia disunting sebanyak 324 kali setiap minit.
  • Wikipedia ialah satu-satunya laman web dalam sepuluh laman web global paling kerap dilawati yang dikendalikan oleh organisasi bukan untung.

[Berkenaan gabungan (affiliate)]

  • Sertakan penerangan umum mengenai komuniti anda jika berkenaan

[Maklumat perhubungan]

  • Sertakan butiran nombor telefon/e-mel untuk wartawan menghubungi anda.

Rakaman latihan media

Latihan yang dirakam ini bertujuan untuk melengkapkan anda supaya bersedia bercakap dengan wartawan apabila diperlukan. Latihan ini merangkumi topik seperti:

  • Memahami landskap media
  • Komponen cerita yang baik
  • Perkara yang perlu diingat apabila bercakap dengan wartawan mengenai WP25
  • Amalan terbaik untuk bercakap dengan wartawan

Anda boleh mendapatkan latihan tersebut di pautan di bawah:

Sumber pemesejan lain

Siri video "A Wiki Minute"

  • Siri ini merupakan koleksi video yang boleh diguna semula, juga penerangan ringkas tentang elemen, konsep, dan prinsip utama Wikimedia bagi membantu orang ramai memahami projek serta gerakan kita dengan lebih baik. Lihat senarai main YouTube dan halaman Meta-Wiki. Anda boleh berkongsi video ini dalam acara, melalui e-mel, wartawan-wartawan dan lain-lain.

Soalan lazim

Jawapan kepada soalan paling lazim tentang Yayasan Wikimedia, Wikipedia, dan lain-lain.

Blog tentang pengajaran daripada Wikipedia

Blog tentang Wikimedia dan AI

Visual/imej

Lihat logo ulang tahun ke-25 serta visual lain dalam kit sambutan.