Dasar ruang mesra
Dasar ruang mesra ialah garis panduan untuk perhimpunan komuniti Wikimedia secara bersemuka mahupun maya, yang menasihatkan agar semua peserta berusaha untuk menggalakkan pengalaman yang positif dan membina bagi semua peserta lain. Konsep yang berkaitan dengannya ialah kod tatalaku, iaitu sebuah dasar yang membimbing tingkah laku dalam semua konteks, dan bukan hanya terhad pada acara bersemuka sepertimana dasar ruang mesra.
Dasar ruang mesra umum untuk acara Wikimedia
Komuniti Wikimedia berdedikasi untuk menyediakan pengalaman yang mengalu-alukan kedatangan semua pihak, tanpa mengira jantina, orientasi seksual, identiti atau ekspresi jantina, ketidakupayaan, penampilan, bangsa, agama, atau lesen bebas pilihan mereka (dan tidak terhad kepada aspek-aspek tersebut sahaja). Kami tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk gangguan terhadap peserta acara. Peserta yang melanggar peraturan ini mungkin akan diminta untuk meninggalkan acara tersebut atas budi bicara penganjur acara.
Takrifan gangguan
Gangguan termasuklah:
- Komen lisan yang menyinggung perasaan berkaitan jantina, orientasi seksual, identiti atau ekspresi jantina, ketidakupayaan, penampilan fizikal, saiz badan, bangsa, etnik, fahaman politik, atau agama.
- Ancaman yang disengajakan, menghendap, mengekori tanpa rela, mengambil gambar atau merakam dengan niat mengganggu, dan gangguan yang berterusan terhadap sesi ceramah atau acara-acara lain.
- Mempamerkan imej seksual tanpa mengikut konteks, sentuhan fizikal yang tidak wajar, dan perhatian seksual yang tidak diingini.
Refer to the Universal Code of Conduct's definition on harassment to learn more about what constitutes harassment in the Wikimedia movement globally.
Peserta yang diminta untuk menghentikan tingkah laku sedemikian dijangka akan mematuhinya dengan serta-merta.
Tindakan pembetulan
Memandangkan acara komuniti Wikimedia diuruskan oleh sukarelawan, penganjur acara bergantung pada bantuan semua hadirin untuk mengekalkan Dasar Ruang Mesra ini. Jika anda diganggu, menyedari orang lain sedang diganggu, atau mempunyai sebarang kebimbangan lain, sila hubungi mana-mana ahli kakitangan acara dengan segera.
Jika pihak penganjur berasa bimbang tentang tingkah laku seseorang individu, atau menerima aduan, mereka boleh mengambil tindakan yang bersesuaian dengan situasi tersebut. Ini boleh merangkumi amaran secara peribadi kepada individu yang berkenaan; dalam kes yang lebih serius, mereka mungkin perlu diminta untuk beredar. Dalam kes intipan (stalking/menghendap), kakitangan acara mungkin boleh menyediakan pengiring.
Individu yang mempunyai corak tingkah laku yang suka mengganggu, atau yang mengancam untuk mengganggu individu lain mahupun mengganggu kelancaran acara, mungkin akan diminta untuk tidak hadir.
Sebarang kebimbangan terhadap pelaksanaan dasar ini haruslah dibangkitkan kepada penganjur acara pada peringkat pertama, atau kepada komuniti Wikimedia yang lebih besar mengikut kesesuaian.
Maklumat Perhubungan
Bagi membantu para hadirin kekal selamat dan dapat berhubung apabila berlaku kecemasan, adalah berguna jika nombor-nombor perhubungan berikut disenaraikan:
- Pihak penganjur acara (sebaik-baiknya nombor 24 jam)
- Keselamatan hotel/tempat acara tempatan
- Penguatkuasa undang-undang tempatan
- Talian penting (hotline) serangan seksual tempatan
- Perkhidmatan perubatan kecemasan dan bukan kecemasan tempatan
- Syarikat teksi tempatan